Ainul Mardhiah89's Blog
Just another WordPress.com weblog

Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat..seorang tokoh ulamak yang amat ku kagum…

BIOGRAFI TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Ulama Dan Tokoh Politik Tanahair Yang Komited

Tenang, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.

Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di ufuk kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.

“Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi di bumi,” kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya.

Beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan. Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.

Ahli Parlimen Yang Komited
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio. Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.

Dikagumi Kawan Dan Lawan

Kemudian dalam pilihanraya umum yang berlangsung pada 21 Oktober lalu, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sekali lagi memenangi kerusi DUN Semut Api. Beliau mengalahkan calon BN, Haji Wan Muhammad Wan Yusof dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 6,993. Suatu pencapaian yang paling tinggi sekali di kalangan para ADUN yang lain! Sekaligus membuktikan kewibawaan dan kepopularan beliau yang tidak boleh disangkal lagi!.

Selain dari menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Beliau adalah satu-satunya tokoh ulama yang paling dihormati dan disegani , digeruni dan dikagumi baik oleh kawan mahupun oleh lawan.

Kini suasan politik di negeri Serambi Mekah ini kelihatan begitu tenang dan mantap. Rakyat merasa lebih bebas dan lebih selesa hidup di bawah pemerintahan Islam pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Mungkin juga berkat kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang selama ini memang terkenal sebagai seorang ulama yang warak dan kuat beribadat.

Latarbelakang Keluarga Dan Pendidikan
Dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu pada tahun 1931, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah mempelajari ilmu agama sejak alam kanak-kanak lagi. Mula-mula beliau belajar dengan ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat, juga seorang guru agama dan ulama yang terkenal di kampungnya pada masa itu.

Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melanjutkan pula pengajian agamanya di pondok Tuan Guru Haji Abbas di Jertih, Terengganu. Selepas beberapa tahun mendalami ilmu agama dengan Tuan Guru Haji Abbas, beliau berangkat ke India untuk melanjutkan pengajiannya di sana pula.

Setelah tamat pengajiannya di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berangkat pula ke Mesir. Di Mesir beliau memasuki Universiti Al-Azhar di dalam jurusan bahasa Arab. Setelah memperolehi ijazah Sarjana Muda di dalam Pengajian Arab, Tuan Guru Haji Nik Aziz meneruskan lagi pengajiannya di universiti yang sama di dalam jurusan perundangan Islam. Beliau lulus pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana iaitu M.A. di bidang perundangan Islam.

Pulang Ke Tanahair
Setelah dadanya diisi dengan ilmu agama secara mendalam, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kembali semula ke tanahair. Di tanahair beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah agama rakyat di samping mengajar agama di kelas-kelas dewasa pada sebelah malamnya. Beberapa tahun kemudian beliau mengajar pula di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Kota Bharu – sebuah sekolah menengah agama aliran Arab yang tertua dan terbesar di negeri Kelantan.

Dalam masa yang sama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menceburkan dirinya di dalam kegiatan-kegiatan dakwah. Beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di pelbagai tempat khususnya di Masjid Kampung Pulau Melaka – kampung tempat beliau dilahir dan dibesarkan!.

Dari semasa ke semasa namanya semakin terkenal. Murid-muridnya semakin bertambah ramai. Imejnya sebagai seorang tokoh ulama yang disegani dan dikagumi ramai semakin menonjol. Pengaruhnya semakin meluas. Kewibawaaannya semakin mendapat pengiktirafan umum.

Ceburi Bidang Politik
Oleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini.

Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama.

Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS. Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu.

Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Malah Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau BN.

Mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat
Memandang kepada ketokohan dan kewibawaannya sebagai seorang ulama, beliau telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PAS untuk mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat mulai akhir tahun 1960an.

Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua ajaran Rasulullah SAW. Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan peribadi.

Alam Rumahtangga
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak kira-kira 30 tahun yang lalu. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak – 5 lelaki dan 5 perempuan. Salah seorang (yang sulung) daripada mereka – Noor Aini namanya – kini bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah Maktab Perguruan di Kuala Lumpur.

Kerajaan Misali
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah – di Dewan Zulkifli Muhammad inilah – ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.

Dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang total, kita yakin kerajaan Angkatan di negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berjaya menegakkan sebuah kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah ini. Dan kerajaan Islam Serambi Mekah ini, insya Allah akan menjadi sebuah kerajaan Misali yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain di negara ini khasnya dan kepada kerajaan-kerajaan Islam di luar dari negara ini amnya.

LOTFI ISMAIL

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT BIN RAJA BANJAR

Inilah susur galur salasilah asal usul keturunan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Berasal dari keturunan Raja Jembal dan salsilah keturunan Raja Jembal ini bermula daripada seorang kerabat diraja Kedah bernama Raja Bersiong yang telah singgah lalu kemudiannya terus menetap di Kedai Lalat kira-kira 10 kilometer dari Kota Baharu.

Walaupun pemerintahan Raja Jembal telah berakhir, namun kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Loyor, makam Raja Omar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara dalam tahun 1970an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kedai Lalat.

Siapa dia Nik Mat bin Raja Banjar?

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar, ayahanda kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini, ialah seorang ulama yang terkenal pada zamannya dan almarhum juga dikenali sebagai Haji Nik Mat Alim.Ayahanda kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini juga dikenali dengan gelaran ‘Haji Nik Mat Pongoh’ di kalangan penduduk sekitar Kedai Lalat dan Pulau Melaka. Gelaran ‘Pongoh’ itu diberi kerana almarhum dikatakan bersikap keras dan bengis terhadap anak-anak dan murid-muridnya.Ayah saya cerita, semua anak gadis yg tak bertudung dan anak muda berseluar pendek tak berani nak berjumpa dengan Tuan Guru Haji Nik Mat. Kalau yang perempuan dia akan mengamuk dan akan tarik rambut dan yang lelaki dia akan rotan sekuat hati.Siapa pula Raja Banjar….merupakan datuk kepada Nik Abdul Aziz…sikap dan perangainya amat berlainan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Nik Mat. Raja Banjar merupakan seorang yg amat bengis dan gedebe serta tidak mengambil perhatian yang berat terhadap pelajaran anak-anaknya. Penduduk dan kawasan Kampung Kedai Lalat dan sekitarnya dahulu terkenal sebagai sarang golongan samseng dan ‘kaki pukul’ .Maka seorang anaknya, Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat, telah mengambil daya usahanya sendiri untuk mendapatkan pelajaran agama daripada ulama-ulama tempatan pada waktu itu.Menurut Cikgu Tuan Mat bin Haji Tuan Kechik, setelah Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mendapat didikan agama di Pondok Haji Omar Mentuan dan Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah menunjukkan sikapnya yang tidak mahu bertolak ansur dengan sesiapa sahaja tentang ajaran agama Islam.Antara kisah yg menarik ialah “Allahyarham secara nekad dan berani menyembelih beberapa ekor ‘ayam pelaga’ kesayangan ayahandanya sendiri yang disimpan dalam satu sangkar yang istimewa.’Ayahandanya yang bengis itu tidak berkata apa-apa apabila diberitahu bahawa orang yang menyembelih ayam pelaga kesayangannya itu ialah anaknya sendiri yang bernama Nik Mat,” kata Cikgu Tuan Mat.Peristiwa tindakan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat menyembelih ‘ayam-ayam pelaga’ kesayangan ayahandanya itu telah menggemparkan masyarakat setempat kerana sebelum itu tidak ada seorang insan pun yang sanggup dan berani menentang ayahandanya itu yang amat bengis dan gedebe itu.Apa yg kita dapat simpulkan disini ialah: 1) Betullah nasyid nyanyian Raihan…..iman tidak dapat diwarisi….benda ni sebenarnya kena cari. Sama seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat iaitu ayah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Asalnya bukan alim sangat pun….tapi dia berusaha keras….rasanya boleh dijadikan role model kepada kita….2) Istiqamah dalam hidup dan mendidik anak….hingga terbentuk pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz…..Sampai tok cha (sami budha) pun ade cakap….org ni (Tuan Guru Nik Aziz)…..bagus punyer org.Ini merupakan kisah benar dan dirujuk di dalam Portal rasmi Pejabat Menteri Besar http://mbkelantan.disanasini.com/isi/diariberita/siapa_nik_aziz.htm (untuk baca detail….sila ke link di atas)dan pengalaman hidup saya sepanjang 27 tahun kenal ayah zid…dari dulu sampai sekarang begitulah dia….tak banyak berubah……saya tumpang bangga kenal dia….tapi tak lah sebaik dia……akhir kata…saya petik kata-katanya apabila dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1990″Sebenarnya kalau ditanya jiwa halus saya, saya tidak hendak jadi Menteri Besar. Apa yang saya hendak ialah saya menumpang berdakwah di atas dunia Allah Ta’ala ini,” katanya.


No Responses to “Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat..seorang tokoh ulamak yang amat ku kagum…”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: